Isnin, 11 April 2011

Bijak membina perkataan melalui permainan congkak

     Permainan Congkak adalah satu permainan tradisional yang cukup popular pada zaman dahulu kala.Di zaman era globalisasi ini,permainan Congkak kian dilupakan dan terus dilupakan sehinggakan generasi sekarang sudah tidak mengenali bentuk Congkak dan cara bermain Congkak.
  Oleh yang demikian,Ustazah Hasnah binti Yahya telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan permainan Congkak ini kepada generasi sekarang melalui pembelajaran di dalam kelas sekaligus menjadikan permainan Congkak ini sebagai salah satu bahan bantu mengajar yang menarik dan menyeronokkan.
    Untuk itu,beliau telah memperkenalkan bahan bantu mengajar untuk kelas pemulihan jawi dengan nama GERAK BIJAK CONGKAK. Dengan itu beliau dapat membantu murid-murid pemulihan ini memperkayakan perkataan jawi melalui kaedah“Bermain Sambil Belajar” disamping membantu mereka dapat mengeja dan menyebut bunyi sukukata dengan betul dan tepat.
     Sebagai strategi permainan,beliau telah menyediakan 2 pakej untuk permainan ini iaitu:
                        * Pakej 1
- Untuk menarik minat murid,pada peringkat awalnya buah Congkak mengandungi dua sukukata sahaja.
                        * Pakej 2
- Apabila sudah mahir,murid diperkenalkan pula dengan buah Congkak yang mengandungi empat  sukukata.
   Melalui pakej-pakej yang disediakan ini,murid-murid akan dapat belajar sambil bermain secara berperingkat-peringkat mengikut tahap pengetahuan dan sukatan yang disediakan oleh guru.
    Cara untuk bermain permainan ini masih lagi menggunakan cara asal permainan.Ustazah Hasnah tidak mengubah sedikit pun cara permainan cuma buahnya sahaja yang berlainan.Untuk buahnya ,beliau mengunakan pemadam yang telah ditulis dengan sukukata terbuka,sukukata tertutup dan rangkai kata.Guru akan memantau perjalanan permainan dan menetapkan masa permainan ( 10—15 minit untuk satu permainan ).Guru boleh menambah masa permainan untuk murid berbincang secara berkumpulan bagi memperbanyakkan lagi perkataan yang dibina.
     Permainan ini memerlukan 2 kumpulan (setiap kumpulan mengandungi 4 orang pemain) yang telah diketagorikan mengikut tugasan iaitu :
                        - Murid A          : sebagai pemain congkak.
                        - Murid B          : sebagai pencatat sukukata terbuka.
                        - Murid C          : sebagai pencatat sukukata Tertutup.
                        - Murid D          : sebagai pembina perkataan.
    Bagi memudahkan murid membina perkataan,beliau telah menyediakan Kamus Inovasi sebagai rujukan murid.Mudah-mudahan kamus ini dapat membantu murid membina lebih banyak perkataan.
    Sebagai permulaan,beliau telah mencuba permainan ini di sekolah  dan beberapa sekolah yang berdekatan,.Hasil maklum balas dari guru-guru yang terlibat,mereka menyatakan bahawa Gerak Bijak Congkak adalah satu pembelajaran yang amat menyeronokkan dan dapat membantu dalam pengajaran  dan pembelajaran . Syabas dan tahniah buat Ustazah Hasnah kerana berjaya menghasilkan Gerak Bijak Congkak.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan